Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 4 Julai. - Majlis Doa Selamat bagi pemergian ahli-ahli Independent Decommissioning Body Verification, Monitoring and Assistance Team 7/2025 (IDB VMAT 7/2025) di Mindanao, Republik Filipina diadakan di Surau Ad-Difa', Bolkiah Garison, di sini.
Hadir pada majlis tersebut, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.
Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Puan Yang Terutama Marian Jocelyn R. Tirol-Ignacio; Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan dan ABDB, Pemangku Pengarah Asia/Timur Kementerian Hal-Ehwal Luar Negeri, Atase Pertahanan Republik Filipina ke NBD; pegawai-pegawai serta anggota-anggota Kementerian Pertahanan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah, Tadarus Al-Quran, Surah Yaa Siin dan Asmaul Husna, diikuti dengan tazkirah bertajuk 'Menggalas Amanah Demi Mengharap Reda Allah' yang disampaikan oleh Leftenan (U) Haji Muhammad Syasuandi bin Haji Abu Bakar, Pegawai dari Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT).
Majlis disusuli dengan penyampaian cenderamata berupa senaskah Al-Quran, buku Yaa Siin dan buku bertajuk 'Hikmah Di Sebalik Jihad' kepada kontinjen IDB VMAT 7/2025 yang diiringi dengan laungan Dikir Marhaban.
Sejurus itu, majlis diteruskan dengan Sembahyang Sunat Hajat dan Sunat Dhuha, bacaan Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan oleh Pemangku Pengarah JAMA'AT ABDB, Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar, dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.
Kontinjen IDB VMAT 7/2025 yang terdiri daripada tiga pegawai ABDB, yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Pengiran Ridzamfaizal bin Pengiran Haji Salleh, dijadualkan akan bertolak ke Mindanao, Republik Filipina pada Isnin, 7 Julai 2025.